Sunday, March 22, 2009

ROS Bakal Ambil Tindakan Ke Atas Umno

Perhimpunan dan pemilihan Umno tahun ini yang dijangka bermula pada hari Selasa 24 Mach kini berhadapan dengan kemungkinan ditangguh disebabkan beberapa isu yang dikatakan bercanggah dengan peraturan Akta Pertubuhan 1966.

Esok, dua pemimpin parti diperingkat cawangan, Datuk Kadar Shah Sulaiman dan Datuk Mazlan Harun akan membuat aduan di ibu pejabat Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya pada pukul 2 petang berhubung kes larangan bertanding ke atas calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan amaran keras kepada calon Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin yang didapati bersalah berkaitan politik wang.

"Saya dan Datuk Mazalan akan ke ROS (Pendaftar Pertubuhan) esok dan kami akan membuat aduan mengenai dua kes ini bersama-sama kes yang lain.
"Kami mahu perhimpunan agung Umno dan pemilihan parti ditangguhkan sehingga selesai semua kes-kes politik wang yang membabitkan ramai pemimpin Umno yang akan bertanding jawatan tahun ini.
"Ini termasuk Ali Rustam yang walaupun dilarang bertanding tetap boleh hadir ke perhimpunan dan membuang undi.
"Begitu juga dengan Khairy yang didapati bersalah tetapi tidak ada tindakan diambil terhadap beliau walaupun didapati bersalah," jelas Kadar Shah yang merupakan anak kepada bekas Pengerusi Tetap Umno, Tun Sulaiman Ninam Shah.

Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka dilarang bertanding jawatan timbalan presiden oleh Lembaga Disiplin Umno selepas didapati melanggar peraturan pemilihan Umno 17 Mach lepas.

Bagaimanapun, beliau tidak digantung keahliannya dalam Umno sementara Khairy juga didapati bersalah melanggar peraturan pemilihan parti, tetapi hanya diberi amaran.

Mereka adalah antara 15 ahli yang dikenakan tindakan tatatertib manakala 14 lagi didapati tidak bersalah termasuk seorang lagi calon Ketua Pemuda, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

No comments: