Monday, February 2, 2009

Najib Pengerusi Perhubungan UMNO Perak ganti Tajol…?


Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO Khamis malam sudah tentu menarik perhatian banyak pihak. Antara isu menarik ialah perkembangan politik yang berlaku di negeri Perak yang dijangka akan menjadi perkara-perkara dibahaskan pada mesyuarat berkenaan.

Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) kawasan Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang keluar dari BN dan khabar yang berlegar ada lagi ADUN BN akan menuruti jejak langkah ADUN Bota itu pastinya menjadi tumpuan.

Malah perkembangan politik di Perak itu dikatakan mempunyai kaitan dengan kedudukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu. Ada yang menyatakan, Pengerusi sekarang, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali tidak lagi ‘diterima’ oleh pimpinan UMNO Bahagian negeri itu.

Rasa tidak puashati dengan kepimpinan pengerusi sekarang dikatakan menjadi salah satu faktor ‘suhu politik’ UMNO Perak sedikit panas.

Sehubungan itu, difahamkan, setelah pertemuan antara wakil rakyat BN seluruh Perak dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Isnin malam satu keputusan telah dicapai iaitu teraju Badan Perhubungan UMNO negeri itu akan bertukar tangan.

Tajol Rosli dikatakan akan melepaskan jawatan berkenaan dan Najib sendiri difahamkan telah diminta untuk menerajui Badan Perhubungan UMNO negeri berkenaan.

Mesyuarat MT Khamis malam dijangka akan mengesahkan perlantikan Najib tersebut yang dijelaskan oleh beberapa sumber dalaman UMNO Perak sebagai usaha untuk mengembalikan ketenangan dalam Badan Perhubungan UMNO negeri tersebut.

Malah menurut sumber-sumber yang dihubungi, Badan Perhubungan UMNO Perak telah meminta Najib untuk membincangkan hasrat UMNO Perak dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Selain Najib, kedudukan orang nombor dua dalam badan perhubungan UMNO negeri itu juga turut disentuh.

Beberapa nama disebut-sebut untuk mengisi jawatan berkenaan. Antaranya ialah Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut sumber-sumber tersebut, perubahan kepimpinan dengan meminta Najib mengetuai Badan Perhubungan UMNO Perak dilihat sebagai satu usaha untuk memantapkan semula gerakan UMNO dan BN negeri Perak menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Malah, ada di kalangan pimpinan UMNO negeri Perak yakin kehadiran Najib mengetuai Badan Perhubungan UMNO Perak, akan diterima baik oleh ahli-ahli UMNO negeri itu dan meningkatkan lagi keyakinan BN menawan semula Perak daripada kerajaan campuran DAP,PKR dan PAS pada pilihan raya umum akan datang. - agendadaily.com

No comments: