KUALA LUMPUR 27 Nov. - Wanita UMNO diminta menghentikan perbalahan sesama sendiri dan tidak memaksa perwakilan memilih pemimpin yang akan menerajui pergerakan itu pada pemilihan Mac depan.
Naib Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, semua pihak perlu menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan perwakilan untuk menentukan pemimpin yang akan mengetuai pergerakan itu.
Tegas beliau, semua pihak sepatutnya berusaha merapatkan semula barisan dan membiarkan proses pemilihan berlangsung dengan berhemah dan dalam suasana harmoni.
''Perwakilan kini sudah matang dan mereka boleh memikirkan sendiri siapa yang mereka hendak pilih, maka tidak payah kita paksa sesiapa pun.
'' Setiap orang ada hujah masing-masing berhubung perkara ini (pertandingan). Saya minta kita hentikanlah (berkelahi), kerana kalau semua mahu bercakap ia akan berlarutan. Jadi lebih baik kita rapatkan barisan dan bekerja untuk parti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Shahrizat berkata, sebagai golongan ibu, Wanita UMNO tidak sepatutnya berkelahi sesama sendiri sebaliknya mereka harus menunjukkan contoh yang baik.
Jelas beliau, sesiapa sahaja yang mahu bertanding mana-mana jawatan dalam Wanita perlu menyatakan visi dan misi masing-masing serta arah mana mereka mahu bawa pergerakan itu pada masa depan.
''Biar para perwakilan mempertimbangkan perkara ini kerana mereka sudah matang," katanya.
Beliau turut meminta anggota pergerakan itu memberikan tumpuan terhadap kerja-kerja parti dan berkhidmat kepada rakyat agar perjuangan parti mendapat keberkatan.
Sementara itu, mengenai Persidangan Kedua Peringkat Menteri Mengenai Peranan Wanita Dalam Pembangunan di Negara-Negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang dihadirinya di Kaherah, Shahrizat berkata, Malaysia bersetuju dengan Pelan Tindakan Wanita Kaherah yang dibentangkan pada persidangan itu.
Beliau yang mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan selama dua hari bermula 24 November itu berharap menerusi pelan tersebut, hak wanita Islam dijamin oleh setiap negara anggota.
Menurutnya, antara objektif pelan tindakan tersebut ialah:-
Menghapuskan kemiskinan.
Meningkatkan penyertaan wanita dalam membuat keputusan di semua peringkat.
Memberi peluang saksama kepada wanita melalui akses kepada pendidikan berkualiti, penjagaan kesihatan dan peningkatan penyertaan.
Menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita termasuk menangani masalah keganasan terhadap wanita.
Shahrizat yang juga Penasihat Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial kepada Perdana Menteri, berharap Wanita UMNO akan menjadi suara utama untuk memperjuangkan pelan tindakan itu.
''Saya juga akan bawa perkara ini kepada pihak kerajaan untuk menentukan pelaksanaannya di peringkat kementerian dan jabatan,'' katanya.
1 comment:
Kadang-kadang perbalahan yang berlaku hanya perbalahan kecil tapi disensasikan supaya ia nampak besar dan dapat memburukkan nama UMNO. Inilah sikap yang harus dielakkan... Kita harus bersatu untuk memulihkan nama UMNO...
Post a Comment