Thursday, November 27, 2008

Saiful sangkal dia lumpuh, sakit kelamin


Mohd. Saiful Bukhari (kiri) mencium tangan bapanya, Azlan Mohd. Lazim (kanan) di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 27 Nov. - Bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, hari ini menyangkal fitnah dan tohmahan yang tersebar di laman-laman web kononnya dia lumpuh, terlantar sakit serta menghidap penyakit kelamin.

Beliau menegaskan, fitnah yang disebarkan di laman-laman web dan 'cakap-cakap' yang menyatakan dia terlantar sakit dan telah meninggal dunia adalah pembohongan besar yang direka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

''Saya ingin menegaskan bahawa keadaan kesihatan saya sangat baik dan tidak sebagaimana yang ditohmahkan oleh pihak-pihak tersebut.

''Hari ini saya tampil untuk menyangkal segala fitnah yang dilemparkan terhadap saya serta keluarga setelah dua bulan mendiamkan diri.

''Saya masih lagi bersemangat untuk menunggu hari perbicaraan walaupun terkilan sedikit kerana kelewatan tarikhnya,'' katanya pada sidang akhbar di pekarangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Pusat Islam di sini hari ini.

Kata Saiful, kelewatan tarikh perbicaraan tidak sekali-kali mematahkan semangatnya untuk memberi keterangan demi menegakkan kebenaran.

Sebelum itu, pada 20 November lalu, permohonan semakan oleh pihak pendakwaan untuk memindahkan perbicaraan kes Anwar atas tuduhan meliwat Saiful akan didengar di Mahkamah Tinggi pada 5 dan 6 Februari tahun depan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan tarikh itu sebagai menimbangkan permohonan pihak peguam bela mewakili Anwar yang memohon menangguhkan pendengaran semakan kes itu.

Ditanya apa yang dilakukannya sementara menunggu hari perbicaraan, Saiful memberitahu, dia masih berehat, menenangkan fikiran berikutan keputusan mahkamah terhadap dakwaannya ke atas Anwar itu.

''Setiap hari saya memohon kepada Allah supaya perbicaraan kes itu akan berjalan dengan lancar dan walaupun lambat saya yakin setiap perkara yang berlaku itu ada hikmahnya,'' jelasnya.

Mengenai rancangannya untuk berkahwin dengan tunangnya, Janna Syariza Mohd. Zaki, Saiful hanya berkata: "Jika ada jodoh kahwinlah saya.''

Sebelum itu peguam Saiful, Zamri Idrus tiba di pejabat Jawi pukul 10.55 pagi sementara bapanya, Azlan Mohd. Lazim tiba 10 minit kemudian manakala Saiful hanya muncul pada 11.10 pagi.

Mengenai kunjungan Saiful ke pejabat agama itu dalam tempoh yang singkat, Zamri enggan mengulas lanjut dan hanya berkata, pihaknya membuat sedikit perbincangan dengan Jawi.

Mohd. Saiful sebelum ini mendakwa Anwar yang kini Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang di Parlimen, meliwatnya pada 26 Jun 2008 di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang di Unit 11-5-1 Desa Damansara Kondominium, No.99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini.

1 comment:

Anonymous said...

Dengan kemunculan beliau, maka terjawablah segala fitnah yang disebut-sebut orang sebelum ini. Kemunculan nya ini menjadi bukti bahawa beliau masih sihat...